Search This Blog

Monday, 24 July 2017

Perkahwinan Campur Di Malaysia



1.0               
Image result for perkahwinan campur





PEN     PENGENALAN
Perkahwinan campur merupakan perkahwinan yang melibatkan penyatuan antara dua belah pihak yang berlainan latar belakang sama ada dari segi agama, bangsa, kewarganegaraan, kebudayaan dan lain-lain. Menurut Anuar Puteh, Razaleigh Muhamat @ Kawangit serta Abdul Ghafar Haji Don, perkahwinan campur adalah perkahwinan yang terhasil daripada komunikasi dan interaksi antara manusia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya.[1]
Secara umumnya, perkahwinan campur  atau (inter-marriage)[2] dapat dikategorikan kepada beberapa jenis, antaranya ialah perkahwinan campur yang berlaku antara kaum atau etnik seperti kaum Melayu dan kaum Cina. Kategori yang kedua ialah perkahwinan campur antara negara, contohnya Malaysia dan China.Manakala kategori perkahwinan campur yang ketiga ialah perkahwinan antara agama, contohnya agama Islam dan Kristian.Oleh itu, tugasan ini bertujuan untuk membincangkan isu perkahwinan campur di Malaysia yang berlangsung sejak dahulu sehingga kini.



2.0               SEJARAH PERKAHWINAN CAMPUR
Menurut catatan sejarah, hubungan antara kerajaan Melayu dengan tamadun-tamadun lain khususnya tamadun China, India, Arab dan lain-lain lagi telah berlaku pada awal Masihi lagi.Liang Liji (1996)menyatakan bahawa hubungan antara negeri China dengan Alam Melayu telah lama wujud sebelum abad pertama lagi, iaitu pada abad kedua sebelum Masihi sejak zaman Dinasti Han (140-177 S.M).[3] Walau bagaimanapun, kemuncak kepada hubungan antara tamadun Melayu di Nusantara dengan tamadun lain berlaku semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Ramai sarjana dan sejarawan berpendapat bahawa kemuncak kepada hubungan antara  China dan Nusantara berlaku semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka dari aspek politik, mahupun jalinan perdagangan.[4]
Istilah perkahwinan campur merupakan satu istilah yang tidak asing lagi bagi rakyat di negara ini. Di Malaysia, sejarah perkahwinan campur bermula pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang merupakan sebuah kerajaan yang terkenal dengan kehebatan dan kegemilangan kerajaannya dari pelbagai aspek, khususnya perdagangan sehinggakan Melaka pada zaman dahulu lebih dikenali sebagai 'East Of Venice'. Sejarah mencatatkan bahawa abad ke-15 sehingga abad ke-16 merupakan zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan yang paling utama di Nusantara. Dengan itu, Melaka yang berkembang pesat telah dikunjungi pedagang-pedagang luar, selain menjalin hubungan diplomatik dan persahabatan dengan negara lain.    
Sehubungan dengan itu, hubungan persahabatan yang terjalinantara kerajaan Melaka dengan kerajaan China yang begitu kukuh terjalin baik dalam aspek persahabatan, perdagangan dan lain-lain lagi telah membawa kepada berlakunya perkahwinan campur diantara dua buah negara ini. Buktinya, perkahwinan antara puteri Hang Li Po dengan Sultan Melaka, iaitu Sultan Mansur Syah telah menjadi perintis kepada sejarah perkahwinan campur di  Melaka hingga tersebar hingga ke seluruh pelosok tanah jajahannya.[5]Jalinan persahabatan dan perdagangan serta hubungan diplomatik antara dua buah negara ini diperkukuhkan lagi dengan berlakunya perkahwinan antara dua buah negara yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan persahabatan antara dua negara.
Bukan itu sahaja, perhubungan antara Kesultanan Melayu Melaka dengan negara China yang begitu kukuh juga turut membawa kepada berlakunya perkahwinan campur di negara ini.Hubungan baik yang terjalin antara dua buah negara ini mendorong lebih banyak masyarakat Cina datang berhijrah ke Melaka.Rentetan daripada itu, berlakulah migrasi orang-orang Cina ke Melaka yang akhirnya mendorong kepada asimilasi kebudayaan sehingga wujudnya keturunan Baba dan Nyonya hasil dari perkahwinan campur antara masyarakat Cina dengan masyarakat tempatan.[6]Dalam pada itu, ada antara mereka yang terus menetap dan berkahwin dengan masyarakat tempatan sehingga membentuk satu komuniti baru di Tanah Melayu pada ketika itu.Perkahwinan campur antara masyarakat Cina dan orang tempatan di Melaka telah melahirkan masyarakat Baba Nyonya sehingga ke hari apabila mereka membentuk komuniti mereka sendiri pada awal abad ke-17 dan abad ke-18 dengan menetap di Melaka dan Pulau Pinang. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa interaksi yang baik antara masyarakat Cina dan orang tempatan ini telah melahirkan masyarakat baru di Melaka malahan turut mewujudkan satu  budaya baru di negara ini. Proses akulturasi yang berlaku dengan baik pada masa dahulu mewujudkan keharmonian kaum dan perkongsian budaya antara kaum sebelum berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 yang meninggalkan peristiwa bersejarah di negara ini.[7]
Selain itu, sejarah perkahwinan campur di Malaysia juga bermula ekoran kedatangan masyarakat India ke Tanah Melayu pada masa dahulu lagi.Alam Melayu khususnya Melaka bukan sahaja menjalin hubungan dengan negara China malahan turut menjalin perhubungan dengan negara-negara lain seperti India.Terdapat beberapa pandangan sarjana yang berpendapat bahawa kedatangan masyarakat India ke alam Melayu adalah disebabkan oleh faktor perdagangan di negeri-negeri Melayu seperti di Gangga Negara, Beruas dan Melaka.Menurut catatan sejarah lampau, penempatan awal masyarakat ini di Melaka adalah di Tanjung Keling.Dalam hal ini, sejarah perkahwinan campur bermula apabila para pedagang India yang datang ke Tanah Melayu berkahwin dengan orang tempatan sehingga mewujudkan golongan India campuran Melayu yang beragama India Muslim.[8]
Bukan itu sahaja, sejarah perkahwinan campur di negara ini juga berlaku semasa era penjajahan kuasa asing di negara ini.Penjajahan kuasa asing seperti Portugis ke atas Melaka umpamanya telah meninggalkan pelbagai kesan yang dapat dilihat sehingga ke hari ini.Sebagai contoh, kedatangan kuasa Portugis ke Melaka telah menyebabkan berlakunya perkahwinan campur antara masyarakat tempatan dengan orang Portugis.Hal ini terjadi disebabkan oleh tindakan Alfonso de Albuquerque yang menggalakkan perkahwinan campur dalam kalangan orang Portugis dan wanita tempatan. Dalam hal ini, lelaki yang berkahwin dengan masyarakat tempatan ini dipanggil sebagai “casado” dan perkahwinan campur antara orang Portugis dengan wanita tempatan telah melahirkan masyarakat baru di Melaka yang dikenali sebagai Mestizo dan melahirkan anak berbangsa “eurasian”.[9]
3.0      PUNCA BERLAKUNYA PERKAHWINAN CAMPUR
3.1       Faktor Perdagangan
Perkahwinan campur yang terjadi antara dua pihak yang berlainan bangsa agama kewarganegaraan dan sebagainya terjadi disebabkan oleh faktor perdagangan.Seperti yang diketahui, perdagangan merupakan salah satu aspek penting kepada kemakmuran dan kegemilangan sesebuah negara dan kerajaan pada masa dahulu.Menurut Risso dalam bukunya, dunia Melayu sentiasa didatangi para pedagang dari Arab, Cina, India dan Parsi.Menurutnya, aktiviti perdagangan yang berjalan dengan lancar membuatkan dunia Melayu khususnya Melaka sentiasa dikunjungi para pedagang dari luar memandangkan aspek keselamatan para pedagang sentiasa terjamin.[10]Jika dilihat pada sejarah masa lampau, hampir semua kerajaan dan negeri yang ada di semua negara umumnya terlibat dalam kegiatan perdagangan.Di Sumatera khususnya merupakan sebuah rantau yang aktif dalam kegiatan perdagangan khususnya melibatkan perdagangan maritim. Kepelbagaian komoditi yang ada di setiap negara membawa kepada berlakunya hubungan perdagangan dengan negeri lain.[11]
Semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, Melaka menjadi sebuah kerajaan yang terkenal dengan kegiatan perdagangannya yang begitu pesat membangun.Pelabuhan Melaka pada ketika itu berperanan sebagai pelabuhan enterprot dan sebagai tempat pengumpulan barangan dari merata tempat gugusan kepulauan Melayu.[12]Kedudukan Selat Melaka yang strategik menjadi laluan utama para pedagang yang datang dari pelbagai negara khususnya Arab, Parsi, India dan China.[13]Kedatangan para pedagang yang datang dari pelbagai negara ini menjadikan pelabuhan Melaka sebagai tempat pertemuan para pedagang dan menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan antarabangsa dengan kehadiran para pedagang dari seluruh kawasan serantau.[14]Oleh itu, tidak hairanlah jika masa itu Melaka menjadi tumpuan utama para pedagang yang datang singgah untuk berdagang memandangkan terdapat pelbagai jenis barangan yang boleh didapati di pelabuhan ini.
Oleh yang demikian, kedatangan para pedagang yang datang dari pelbagai negara seperti China, Arab, India, Parsi dan lain-lain lagi membawa kedatangan para pedagang yang terdiri daripada bangsa yang berbeza. Hal ini menjadi salah satu faktor berlakunya perkahwinan campur di Tanah Melayu khususnya di Melaka pada masa itu.Sejajar dengan perkembangan pesat Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan antarabangsa, ada di antara para pedagang-pedagang yang datang berdagang di Melaka berkahwin dengan orang tempatan.Malahan, ada juga di kalangan pedagang yang datang berdagang terus menetap di Melaka dan berkahwin dengan orang tempatan.Selain itu, para pedagang yang singgah ke Melaka sementara menunggu peralihan angina monsoon juga membawa kepada berlakunya perkahwinan campur antara para pedagang yang datang dari seluruh negara dengan orang tempatan.
3.2       Faktor Hubungan Diplomatik
Hubungan diplomatik merupakan salah satu faktor dominan yang menyebabkan berlakunya perkahwinan campur.Hubungan diplomatik yang dimaksudkan ialah hubungan diplomatik yang terjalin antara dua buah negara yang berlainan.Hubungan diplomatik yang terjalin antara dua buah kerajaan adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara dua buah negara. Selain itu, ia bertujuan untuk memudahkan lagi urusan antara dua buah negara terutama dari aspek pentadbiran, ketenteraan, perdagangan dan lain-lain lagi.
Menurut Gusti Asnan, hubungan politik tidak hanya dijalin sesama kerajaan dan negeri yang ada di Sumatera.Beberapa kerajaan dan negeri juga menjalin hubungan politik dengan kerajaan yang ada di seberang laut. Misalnya, Rokan, Siak, Kampar, Indragiri dan Tungkal menjalin ikatan menjadi daerah lingkungan dari Melaka.[15]Dalam konteks kelautan berdasarkan hubungan diplomatik Melaka telah mencapai kegemilangan semasa zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah.Hal ini kerana pelabuhan Melaka telah menjadi sebuah pelabuhan yang popular dan masyhur dalam kalangan para pedagang. Bagi memelihara keselamatan Melaka, maka negeri tersebut telah mengadakan hubungan dengan negara lain yang merentasi lautan. Faktor ini membantu Melaka menjadi suatu kuasa yang kuat di Nusantara.Oleh itu, kerajaan Melaka telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain antaranya China, Gujerat, Ryukyu, Siam dan Tanah Arab.

Jalinan persahabatan ini bertujuan untuk menjaga kepentingan dan faedah kepada negeri Melaka itu sendiri.Melalui hubungan ini, Melaka mendapat pengiktirafan sebagai sebuah kerajaan yang berdaulat.[16]Dengan itu, hubungan diplomatik yang terjalin diperkukuhkan lagi melalui ikatan perkahwinan yang berlaku antara dua buah negara.Perkahwinan yang berlaku ini selalunya dijalankan bagi mengeratkan lagi perhubungan antara dua buah negara selain memudahkan urusan pentadiran negara. Sebagai contohnya, perkahwinan antara Puteri Hang Li Po dari negara China dengan Sultan Mansur Syah dari Melaka yang mengukuhkan lagi persahabatan kedua buah negara ini.[17]

3.3   Faktor penyebaran agama
Faktor penyebaran agama juga merupakan salah satu faktor yang membawa kepada terjadinya perkahwinan campur, Umum mengetahui bahawa kedatangan para mubaligh-mubaligh ke sesebuah tempat adalah bertujuan untuk menyebarkan agama.Antaranya kedatangan mubaligh China, Eropah dan Arab.Kedatangan agama Hindu-Budha dan agama Islam ke Nusantara membawa kepada penyebaran agama tersebut di rantau ini. Dalam hal ini, penyebaran agama Hindu-Buddha berkait rapat dengan proses Indianisasi. Ada di kalangan para mubaligh yang menyebarkan dakwah mereka melalui perkahwinan dengan orang tempatan.Malahan, para mubaligh itu sendiri terdiri dari kalangan pedagang yang datang berdagang.Sebagai contohnya di Melaka, kedatangan para pedagang Arab ke Melaka yang membawa sekali agama mereka iaitu agama Islam untuk disebarkan. Ringkasnya, Islam dibawa bersama-sama barang dagangan dari negeri-negeri Arab, Parsi, Koromandel, Malabar dan Gujerat untuk disebarkan.Sebagai kesannya, Kesultanan Melayu Melaka telah berkembang menjadi pusat penyebaran agama Islam di Nusantara pada ketika itu. Dalam hal ini, agama Islam telah di bawa oleh para pedagang Islam yang telah berdagang di Nusantara berdasarkan kepada teori kedatangan agama Islam yang menjelaskan kedatangan Islam dari India, China dan Arab.
Selain itu, kedatangan para pedagang India Muslim khususnya ke Tanah Melayu bukan sahaja semata-mata untuk menjalankan kegiatan perdagangan akan tetapi bertujuan untuk menyebarkan dakwah dan agama Islam. Perkahwinan campur antara masyarakat India Muslim dan orang Melayu tempatan memudahkan mereka menyebarkan dakwah Islam memandangkan terdapatnya ciri-ciri persamaan budaya antara dua pihak.Sebagai contohnya, kemahiran mereka yang fasih dalam berbahasa Melayu, Tamil dan juga Arab memudahkan mereka mengajar dan menyebarkan dakwah di masjid-masjid, bandar dan kawasan kampung.[18]Malahan, melalaui perwatakan, sikap dan akhlak yang baik menyakinkan masyarakat setempat untuk menerima ajaran dan memudahkan lagi penyebaran dakwah mereka.[19]
3.4.    Faktor Kebudayaan
Budaya merupakan tatacara hidup sesuatu kelompok atau kumpulan sosial, iaitu seluruh kehidupan dan persekitaran yang dibina oleh manusia hasil amalan dan hubungan manusia dalam linkungan persekitaran yang meliputi budaya kebendaan dan budaya bukan kebendaan.[20]Dalam hal ini, faktor kebudayaan sesebuah bangsa mendorong kepada berlakunya perkahwinan campur antara dua buah pihak. Hal ini terjadi apabila wujudnya persamaan kebudayaan sesebuah bangsa yang dapat dilihat dalam aspek keagamaan, cara hidup dan lain-lain yang mendorong berlakunya perkahwinan campur sesebuah bangsa. Sebagai contohnya, faktor persamaan kebudayaan yang meliputi agama dan nilai-nilai tradisi Islam, budaya dan tradisi yang sama antara dua kelompok yang berbeza negara memudahkan lagi berlakunya proses perkahwinan campur. Hal ini adalah kerana, persamaan budaya, cara hidup, agama dan sebagainya memudahkan penggabungan budaya dan masyarakat dua kelompok yang berbeza.[21]
Faktor persamaan  kebudayaan yang menggalakan berlakunya perkahwinan campur antara dua buah kelompok dapat dilihat seperti yang berlaku di Tanah Melayu pada masa dahulu. Sebagai contohnya kedatangan pedagang-pedagang India muslim ke Tanah Melayu yang datang untuk berdagang. Pedagang-pedagang India muslim yang datang ke Tanah Melayu khususnya di Melaka yang terkenal dengan pusat perdagangan utama di Nusantara bukan sahaja menjalankan urusan perdagangan malahan ada yang tinggal menetap di Melaka. Bukan itu sahaja, pedagang yang singgah di pelabuhan Melaka sementara menunggu peralihan angin monsun berkahwin dengan wanita Melayu tempatan. Dengan itu, berlaku proses perkahwinan campur dan penggabungan budaya antara dua buah kelompok ini sehingga melahirkan bangsa kacukan India Muslim yang terhasil dari perkahwinan campur tersebut. oleh itu, perkahwinan campur yang terjadi membawa kepada penggabungan dan penerimaan budaya yang berterusan.
3.5     Faktor dasar penjajahan Barat
Kekayaan sumber hasil bumi dan bahan mentah di Asia Tenggara telah menarik minat kuasa kuasa Barat untuk meluaskan kuasa mereka.Kedatangan kuasa luar ini khususnya ke Alam Melayu adalah bertujuan untuk menguasai perdagangan dan pusat perdagangan di dunia Melayu.[22]Selain itu, kuasa Barat ini juga bertujuan untuk menguasai politik ekonomi dan sosial serta menyebarkan agama kristian di Alam melayu khususnya selaras dengan slogan 3G Gold Gospel dan Glory.[23]
Penjajahan kuasa-kuasa Barat seperti Portugis, Belanda, British dan lain-lain lagi telah mencorakkan suasana yang baru khususnya dalam aspek politik, sosial dan ekonomi di negara jajahan.Di Tanah Melayu khususnya telah menerima satu tamparan yang hebat terhadap dasar pentadbiran, aspek sosial dan ekonomi di negeri itu.Sebagai contohnya, perubahan yang ketara dalam aspek ekonomi di Tanah Melayu apabila British memonopoli sistem ekonomi di negeri itu.Selain menguasai sistem ekonomi di Tanah Melayu, struktur sosial masyarakat di Tanah Melayu mengalami perubahan apabila pihak British membawa masuk buruh-buruh Cina dan India ke Tanah Melayu.Kemasukan imigran Cina dan India ini adalah bertujuan untuk memenuhi tenaga buruh di Tanah Melayu.
Dalam  hal ini, orang Cina dibawa masuk oleh British melalui sistem kontrak dan bekerja di lombong bijih timah di Perak, Selangor dan negeri Sembilan.[24] Sementara itu, Brtish juga membawa masuk buruh-buruh India ke Tanah Melayu melalui sistem Kangani, sistem kontrak dan buruh bebas dan bekerja di ladang-ladang getah khususnya.[25]Oleh yang demikian, hal ini bukan sahaja mewujudkan masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu malahan turut membawa kepada berlakunya perkahwinan campur di Tanah Melayu.
Kemasukan kaum Cina dan India ke Tanah Melayu beramai-ramai melalui dasar British telah mewujudkan masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu.Penghijrahan beramai-ramai imigran Cina dan India ke Tanah Melayu mendorong kepada berlakunya perkahwinan campur antara masyarakat tempatan.Hal ini kerana, terdapat golongan imigran ini yang terus tinggal menetap di Tanah Melayu setelah tamat kontrak.Dengan itu, wujud interaksi antara mereka dengan masyarakat tempatan dan juga unsur akomodasi dalam kehidupan masyarakat pluralistik pada zaman tersebut.[26]
4.0       IMPLIKASI KAHWIN CAMPUR TERHADAP HUBUNGAN ETNIK (MASA DAHULU DAN KINI)
Masyarakat pluralisme yang merujuk kepada masyarakat majmuk yang terdiri daripada kepelbagaian bangsa atau kaum yang mendiami sesuatu wilayah atau negara mengamalkan kepelbagaian budaya dan tradisi telah membuka peluang untuk masyarakat mengadakan perkahwinan campur dalam kalangan mereka.[27]Perkahwinan campur sememangrnya boleh mendatangkan kesan positif terhadap hubungan etnik pada masa mula-mula terjadinya perkahwinan jenis ini.Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa hubungan etnik yang baik boleh terjejas apabila ada pihak bersikap tidak menyenangi perkahwinan sebegini.
Implikasi positif perkahwinan campur terhadap hubungan etnik yang terjalin pada masa dahulu dan masa kini boleh dilihat dari aspek hubungan kekeluargaan antara dua negara (politik). Pada masa dahulu, memandangkan sejarah berkisar lebih kepada golongan atasan, maka hubungan kekeluargaan akibat perkahwinan campur banyak tertumpu pada kerabat diraja sama ada melibatkan dalam sesebuah kerajaan mahupun dua kerajaan seperti yang telah diutarakan sebelum ini. Bukan tidak ada diceritakan perkahwinan ini dalam peringkat masyarakat bawahan, tetapi kurang.
Pada masa kini pula, dunia semakin maju dan terhubung dengan dunia luar searus dengan perkembangan globalisasi, maka perkahwinan campur tidak lagi begitu terhad kepada sesuatu golongan tertentu, sebaliknya jelas menampakkan perkahwinan dalam golongan masyarakat sosial tidak kiralah perkahwinan yang mengerat dan menyatukan hubungan antara dua kerajaan ataupun dua keluarga yang berbeza latar belakang dari aspek keturunan, bangsa dan budaya. Perbezaan ini menyebabkan masing-masing berpeluang mempelajari dan menerima setiap perbezaan kerana dirasakan mempunyai keunikannya yang tersendiri.[28]Tuntutan pekerjaan yang lebih baik mendorong seseorang rakyat Malaysia untuk berhijrah ke negara lain dan akhirnya berkahwin di sana. Tidak ketinggalan juga berlaku perkahwinan rakyat Malaysia dengan rakyat negara luar yang datang merantau ke Malaysia.
            Walau bagaimanapun, apabila terdapat perselisihfahaman antara suami isteri sehingga melibatkan keluarga, tidak mustahil perkahwinan campur boleh mendatangkan kesan negatif terhadap institusi kekeluargaan.[29]Hal ini menjadi lebih buruk apabila berlaku konflik rumah tangga yang mungkin menular menjadi isu diplomatik antara dua negara.Isu ini pernah diutarakan oleh seorang Penolong Profesor Kulliyah Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), iaitu Dr. Nik Rahim Nik Wajis.Beliau berkata perkahwinan dalam kalangan orang Islam dengan orang kafir (Barat) yang sanggup menerima Islam sebagai satu-satunya pegangan agamanya dengan syarat betul-betul beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad sebagai utusan Allah.[30]Pergolakan rumah tangga berupaya mendatangkan impak negatif sehingga berhadapan isu perebutan anak hasil perkongsian hidup pasangan berkenaan selepas bercerai. Beliau menambah lagi bahawa kisah seorang ayah yang membawa lari anak ke Malaysia daripada jagaan isteri di negara Barat adalah kisah yang tidak asing lagi dalam media massa tempatan. Hal ini mungkin berpunca daripada penerimaan adat yang sudah sebati dalam kalangan masyarakat Barat seperti meminum arak, pergaulan bebas, berzina dan berjudi.Bagi seseorang yang sudah terbiasa dengan adat ketimuran, pasti adat-adat sebegitu ditentang keras dalam kalangan masyarakat.[31] Selain itu, implikasi positif perkahwinan campur terhadap hubungan etnik yang terjalin pada masa dahulu dan masa kini boleh dilihat dari segi ekonomi.Seseorang dapat meningkatkan taraf hidupnya dengan mengahwini seseorang yang mempunyai kedudukan kewangan yang stabil.Malah, apabila bertemu jodoh dengan pasangan yang bertindak bukan hanya memberi keselesaan kepada diri, bahkan turut berusaha membantu dalam memajukan ahli keluarga pasangan dianggap sebagai suatu nikmat yang boleh mengukuhkan lagi hubungan etnik dalam sesebuah perkahwinan. Ahli keluarga pasangan itu sekali gus akan berasa hormat kepada orang yang membantu mereka. Walau bagaimanapun, perkahwinan campur antara dua darjat adakalanya berakhir dengan perceraian.Hal ini kerana pasangan yang sudah terbiasa hidup dipenuhi kemewahan berkemungkinan mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dalam keadaan sederhana dan serba kekurangan bersama pasangan. Apabila sudah muak untuk hidup dalam kemiskinan, seseorang itu akan mencari 1001 alasan untuk meninggalkan pasangan.
            Terdapat juga kes seorang suami yang berlaku curang pada isterinya setelah berjaya mengumpul dan mendapatkan harta kekayaan atas dorongan isteri selama ini. Suami seakan-akan lupa akan tanggungjawabnya terhadap anak-anak terutamanya isterinya. Perkara ini pernah terjadi terhadap seorang responden yang bernama Sandra (Melayu) yang pernah berkahwin dengan seorang lelaki Cina.[32]Disebabkan itu, ahli keluarga Sandra semakin membenci orang-orang Cina terkecuali ibunya seorang yang sentiasa menyokongnya. Menurut ibunya, perilaku seseorang itu tidak boleh dinilai sama hanya kerana dia datang dari kaum yang sama dengan bekas suaminya.[33]Jodohnya tetap tertulis untuk berkahwin buat kali kedua dengan lelaki Cina dan dikurniakan sepasang anak lelaki dan perempuan.Perilaku bekas suami dan suaminya kini jauh berbeza dan jelaslah bahawa janganlah kita membenci seseorang hanya disebabkan oleh kaumnya semata-mata, bak kata pepatah "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga".[34]
            Di samping itu, implikasi positif perkahwinan campur terhadap hubungan etnik yang terjalin pada masa dahulu dan masa kini boleh dijelaskan dari aspek sosial sebagai menggalakkan keharmonian kaum. Hal ini kerana pada kebiasaannya, generasi yang lahir hasil daripada perkahwinan campur akan bersikap dan berfikiran lebih terbuka sehingga dapat mengelakkan sikap perkauman. Hal ini sangat bertepatan dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat pada ayat ke-13 yang mafhumnya, "Wahai manusia!Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan.Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu.Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya."[35]
Pada zaman dahulu, iaitu zaman Rasulullah S.A.W, baginda turut menggalakkan para sabahat untuk berkahwin campur dengan pasangan yang jauh dan tidak mempunyai sebarangan hubungan kekeluargaan.Bahkan, baginda sendiri pernah berkahwin dengan seorang balu, iaitu Safiyah binti Huyay seorang wanita beketurunan Yahudi dan memiliki hubungan kekeluargaan dengan nabi Harun dan Musa.[36]Semasa dalam Perang Khaibar, suami Safiyah yang bernama Kinanah terlah terkorban dan Safiyah menjadi tawanan perang. Safiyah telah dihadapkan kepada Nabi Muhammad S.A.W dan pada ketika itulah Nabi melamarnya menjadi isteri sah baginda dan sekali gus memeluk Islam.
            Kewujudan masyarakat baharu juga terhasil ekoran daripada perkahwinan campur.Pada kurun ke-15 terutamanya semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, Sultan Mansur Shah telah berkahiwn dengan Puteri Hang Li Po. Puteri Hang Li Po ditemani oleh Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam dan 500 pengiring perempuan yang lain. Pengiring-pengiring tersebut menetap di Bukit Cina dan akhirnya berkahwin dengan penduduk tempatan sehingga melahirkan masyarakat baharu, iaitu Baba dan Nyonya.[37]
Migran kedua terbesar selepas Cina adalah orang India yang berasal dari India Selatan seperti Negapatam dan Madras.Di negara asal, mereka mengalami kebuluran yang mendorong untuk bermigrasi ke Tanah Melayu terutamanya sejak pembukaan Pulau Pinang oleh British.[38]Penduduk tempatan yang menjalin perkahwinan melahirkan generasi baharu yang dipanggil Jawi Peranakan.[39] Jika dilihat pada konteks era moden kini, Malaysia jelas mengetahui bahawa Datuk Nicol David selaku ratu skuasy negara merupakan anak Ann Marie (Cina) dan Desmond David (India).
Hal yang sama juga terjadi apabila orang Portugis berkahwin dengan orang Melayu melahirkan masyarakat Serani, manakala perkahwinan campur antara Melayu dan Arab membentuk Melayu-Arab. Percampuran gen antara pasangan suami isteri yang berlainan kaum berupaya melahirkan gen yang lebih baik bakanya sehingga anak-anak memiliki rupa paras cantik dan comel selain daripada memiliki kecerdasan otak yang tinggi[40]
            Walau bagaimanapun, bukan semua perkahwinan mendapat restu daripada ibu bapa dengan mudah.Hal ini kerana perkahwinan campur mendapat pelbagai reaksi yang berbeza dalam kalangan masyarakat majumuk.[41]Penerimaan keluarga yang tidak baik mendorong ibu bapa untuk berusaha menentang keinginan sehingga berusaha mencari jalan agar perkahwinan anak mereka berakhir dengan perceraian.Lebih-lebih lagi apabila pasangan terdiri daripada dua agama yang berbeza. Keadaan akan menjadi semakin keruh akibat termakan hasutan ibu bapa mendorong pasangan untuk tidak meneruskan lagi perkahwinan mereka. Akibatnya, perceraian berlaku kerana tiada persefahaman dan akhirnya bekas pasangan kembali kepada agama asal.


5.0       ITEM PEMBINAAN KERANGKA KESEPADUAN SOSIAL BERDASARKAN PERKAHWINAN CAMPUR DI MALAYSIA
Perspektif kesepaduan sosial melihat masyarakat sebagai satu entiti sosial yang memiliki keupayaan untuk membentuk kesejahteraan dalam masyarakat. Item pembinaan kerangka kesepaduan sosial di Malaysia akibat terjalinnya perkahwinan campur adalah sikap hormat menghormati antara satu sama lain. Pasangan dan ahli keluarga yang terlibat akan berusaha mempelajari dan memahami adat dan tradisi masing-masing. Sikap saling menghormati norma dan nilai penganut antara kaum menjadi resepi dan formula untuk melahirkan hubungan etnik berlainan agama yang begitu harmoni dalam kalangan masyarakat yang mendirikan perkahwinan campur. Masing-masing tahu dan sedar akan sensitiviti agama dan budaya lain. Oleh hal yang demikian, mereka akan cuba untuk mengelakkan mengucap atau melakukan apa-apa sahaja perkara yang boleh mendatang atau menyinggung perasaan atau sensitiviti kaum lain.
            Selain itu, sikap toleransi yang tinggi perlu menjadi item pembinaan kerangka kesepaduan sosial berdasarkan perkahwinan campur di Malaysia. Hal ini jelas melalui aktiviti perayaan yang menyediakan pelbagai juadah makanan yang memenuhi keperluan sosiologi dan biologi masyarakat pelbagai etnik.Apabila keluarga pasangan daripada kaum India bertandang ke rumah pasangan (Melayu) sempena hari perayaan Aidilfitri mahupun Aidiladha, adalah penting agar tidak menyediakan makanan seperti daging sapi.Tindakan sebegini adalah penting kerana menggambarkan tahap kesedaran dan tolak ansur yang tinggi terhadap etnik yang berbeza sehingga berupaya memantapkan kesepaduan sosial dalam kalangan masyarakat. Begitu juga apabila masyarakat daripada etnik bukan Islam adalah dilarang sama sekali menyediakan juadah yang bertentangan dengan syariat Islam terhadap orang Melayu. Jelaslah bahawa makanan boleh menjadi simbolik kepada hubungan kekeluargaan, persahabatan dan keakraban yang dikongsi bersama.
            Di samping itu, item pembinaan kerangka kesepaduan sosial yang dilihat tidak kurang pentingnya untuk dipraktikkan dalam perkahwinan campur ialah sikap menjauhi elemen-elemen negatif seperti prejudis, stereotaip, diskriminasi. Hal ini kerana sentimen rasisme atau sifat perkauman jika dibiarkan secara berterusan akan mengancam kestabilan dan keamanan negara. Malaysia pernah mengalami peristiwa yang menghayat hati sehingga menumpahkan banyak darah apabila 196 nyawa orang terkorban dalam Peristiwa 13 Mei 1969, iaitu rusuhan kaum secara besar-besaran.[42]Isu perkauman ini telah menyebabkan seluruh negara terpaksa diisytiharkan darurat akibat kekacauan yang tidak dapat dikawal lagi dan ramai nyawa terkorban. Oleh itu, bagi mengelakkan peristiwa buruk sebegini berlaku pada kemudian hari, seseorang perlulah menanamkan semangat berprasangka baik terhadap orang lain daripada etnik yang berbeza serta mengelakkan elemen-elemen negatif seperti prejudis, stereotaip, diskriminasi.
            Seterusnya, sikap menghindari elemen seperti egosentrik agar tidak menjadi pihak pelampau atau cauvinis dan agama yang memperlihatkan seseorang mempunyai cara pemikiranserta tingkah laku yang menafikan hak-hak orang lain sehingga menyukarkan mencapai usaha mengintegrasikan pelbagai etnik di Malaysia.[43]
Akibat kepincangan item kerangka kesepaduan sosial dalam kalangan masyarakat menyebabkan Malaysia sekali lagi pernah mencatatkan peristiwa buruk apabila berlakunya isu perkauman, iaitu, isu Peristiwa Kampung Medan melibatkan pergaduhan antara kaum Melayu dan India di Kampung Medan selama lima (5) hari bermula pada 4 hingga 8 Mac 2001.

6.0       KESIMPULAN
Perkahwinan campur sebenarnya sudah berlangsung sejak sekian lama dahulu, iaitu pada zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi sehingga pada era tradisional di Tanah Melayu yang menyaksikan perkahwinan kerabat diraja Kesultanan Melayu Melaka. Kedatangan kuasa penjajah seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun yang pernah menguasai Tanah Melayu lebih kurang 346 tahun lamanya telah merancakkan lagi perkahwinan campur dalam kalangan masyarakat tempatan. Item pembinaan kerangka kesepaduan sosial di Malaysia akibat terjalinnya perkahwinan campur seperti yang dinyatakan sebelum ini perlulah wujud dalam diri seseorang bagi menjamin keamanan dan keselamatan negara sentiasa terjamin.Sesebuah negara yang tergugat keamanannya boleh mendorong pihak luar terutama negara-negara yang kukuh dari segi pertahanan dan ekonominya untuk melakukan penaklukan sepertimana yang terjadi ke atas negara Palestin dan Syria yang sedang bergolak kini.Perlu ditegaskan bahawa setelah kekacauan negara berlaku, maka adalah sukar untuk mengatasinya lagi. Pihak luar akan berpura-pura memberikan bantuan dengan balasan perlu tunduk ke atas mereka.







7.0       RUJUKAN
Al-Qur'an
Surah al-Hujurat.Ayat ke-13.
Akhbar
Arkib dalam Utusan Online. 1998. Permasalahan Kahwin Campur.
Malaysia Kini.2007. Mendedahkan Punca Sebenar Rusuhan 13 Mei.
Sinar Harian. 2015. Lebih Baik Kahwin Campur.
Disertasi/Thesis/Latihan Ilmiah/Kertas Projek
Halimah Mohd Said dan Zainab Abdul Majid. _____. Pengaruh Persekitaran ke Atas Sistem Nilai            Kaum Jawi Peranakan. Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Sarjit S. Gill. 2001. Perkahwinan Campur Peranakan Punjabi di Sabah. Malaysia: Sari 19.
Artikel/Jurnal
Anuar Puteh, Razaleigh Muhamat @ Kawangit, dan Abdul Ghafar Haji Don. Konsep       perkahwinan campur dan kepentingannya kepada usaha dakwah.(2011) Konsep          perkahwinan campur dan kepentingannya kepada usaha dakwah. Al-Hikmah, 3 . pp.   77-90. ISSN 1985—6822
Arba’iyah Mohd Noor. 2011. Perkembangan Pensejarahan Islam di Alam Melayu  (Development of Islamic Historiography in Malay Archipelago). Jurnal Al-Tamadun.  6: 29-50.
Halimah Mohd Said dan Zainab Abdul Majid, Pengaruh Persekitaran ke Atas Sistem Nilai           Kaum Jawi Peranakan.
Nordin Hussin, Geografi dan Perdagangan:Kepentingan Selat Melaka kepada Perdagangan        Dunia, Asia dan Dunia Melayu 1700-1800 : Akademika 73, 2008.
Sarjit S. Gill. 2001. Perkahwinan Campur Peranakan Punjabi di Sabah. Sari 19 .189-203.
Zawiah Mat &Mashitah Sulaiman.Interaksi Budaya India & Cina ke Atas Pengukuhan      Bahasa dalam Tamadun Melayu,Jurnal Pengajian Umum Bil. 8.
Buku
Abdul Rahman Abdullah. 2000. Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara. Utusan Publications          &Distributors: Kuala Lumpur.
Ahmad Jelani Halimi. 2006. Perdagangan dan Perkapalan Melayu di Selat Melaka Abad ke          15 hingga ke-18. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Jelani Helmi. 2006. Perdagangan dan Perkapalan Melayu di Selat Melaka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azmah Abdul Manaf. 2001. Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia. Utusan Publications and           Distributor Sdn Bhd.
Azmah Abdul Manaf. 2001. Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia. Utusan Publications and           Distributor Sdn Bhd.
Gunn.Geoffrey C. 2003. First Globalization: The Eurasian Exchange 1500-1800.Oxford:  Rowman.
Gusti Asnan. 2009. Perdagangan Maritim Sumatera pada Awal Abad Ke-16. Bondan       Kanumoyoso et al. (ed.). Kembara Bahari – Esei Kehormatan 80 Tahun Adrian B.      Lapian. Jakarta: Komunitas Bambu.
Ishak Saat. 2009. Malaysia 1945-2000. Kuala Lumpur: Utusan Publications dan Distributors        Sdn Bhd.
KongYuanzhi. 2000. Pelayaran Zheng He danAlamMelayu. Bangi:UniversitiKebangsaan Malaysia.
Liang Liji. 1996.  Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke-15. Bangi: Universiti           Kebangsaan Malaysia.
Mansur Mohd Noor. 2012. Modul Hubungan Etnik. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd. Isa Othman. 2002. Sejarah Malaysia (1800-1963). Kuala Lumpur : Utusan Publications & Sdn. Bhd.
Nicholas Tarling. 2008. The Cambridge History of Southeast Asia Volume 1: From Early   Times to c.1800. Australia : Cambridge University Press.
Risso, Patricia. 1995. Merchants and Faith Muslim Commerce and Culture in the Indian    Ocean. Colorado: Westview Press.
Shamsul Amri Baharuddin. 2008. Modul Hubungan Etnik. Shah Alam : Pusat Penerbitan  Universiti (UPENA).
Shamsul Amri. 2007. Modul Hubungan Etnik. Malaysia: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).
Laman Web
“Masyarakat majmuk di Malaysia” dalam https://zanas.wordpress.com/tirai-kemerdekaan  negara/pembentukan-masyarakat-majmuk-di            malaysia/. Diakses pada 18 Mei 2017.
“Konsep Perkahwinan Campur” dalam https://prezi.com/jdp6tcguoevo/integrasi-nasional   melalui-perkahwinan-campur/. Diakses pada 25.05.2017.
Responden/Orang Perseorangan
Jamilah binti Mahmud.15 Mei 2017. Penduduk Daerah Sepang, Selangor
Sandra Binti Abdul Kadir. 15 Mei 2017. Penduduk Daerah Sepang, Selangor.


[1]Sarjit S. Gill, Perkahwinan Campur Peranakan Punjabi di Sabah, Sari 19.189-203,          2001. hlm. 1
[2]Ibid
[3] Liang Liji, Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke-15. Bangi: Universiti        Kebangsaan Malaysia, 1996, hlm. 85.
[4] KongYuanzhi, Pelayaran Zheng He danAlamMelayu, Bangi:Universiti Kebangsaan        Malaysia, 2000, hlm. 65-66.
[5] Shamsul Amri Baharuddin, Modul Hubungan Etnik,Edisi Kedua. Shah Alam: Pusat        PenerbitanUniversiti (UPENA), 2008,  hlm. 31.
[6]Azmah Abdul Manaf, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, Utusan Publications &           Distributor Sdn Bhd, 2001, hlm. 3.
[7]13 Mei 1969 merupakan peristiwa bersejarah di Malaysia, iaitu terjadinya kemuncak         kepada masalah perpaduan kaum yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.   Ishak Saat, Malaysia 1945-2000, Kuala Lumpur: Utusan Publications dan Distributors  Sdn Bhd, 2009, hlm. 232.
[8]Zawiah Mat &Mashitah Sulaiman, Interaksi Budaya India & Cina ke Atas Pengukuhan    Bahasa dalam Tamadun Melayu,Jurnal Pengajian Umum Bil. 8, hlm. 9.
[9] Nicholas Tarling, The Cambridge History of Southeast Asia Volume 1: From Early          Times to c.1800, Australia : Cambridge University Press, 2008, hlm. 368.
[10]Risso.Patricia, Merchants and Faith Muslim Commerce and Culture in the Indian            Ocean. Colorado: Westview Press, 1995, hlm. 89.
[11]Gusti Asnan, Perdagangan Maritim Sumatera pada Awal Abad Ke-16. Bondan   Kanumoyoso et al. (ed.). Kembara Bahari – Esei Kehormatan 80 Tahun Adrian B.     Lapian,Jakarta: Komunitas Bambu, 2009, hlm. 48.
[12]Nordin Hussin, Geografi dan Perdagangan: Kepentingan Selat Melaka kepada    Perdagangan Dunia, Asia dan Dunia Melayu 1700-1800 : Akademika 73, 2008, hlm.          4.
[13]Ahmad Jelani Halimi, Perdagangan dan Perkapalan Melayu di Selat Melaka Abad ke-15            hingga ke-18. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006, hlm. 223.
[14] Abdul Rahman Abdullah, Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara. Utusan Publications & Distributors: Kuala Lumpur, 2000, hlm. 352.
[15] Gusti Asnan, Perdagangan Maritim Sumatera pada Awal Abad Ke-16, Bondan Kanumoyoso et al. (ed.). Kembara Bahari – Esei Kehormatan 80 Tahun Adrian B. Lapian. Jakarta: Komunitas Bambu, 37-56, 2009, hlm. 47-48.
[16] Ahmad Jelani Helmi, Perdagangan dan Perkapalan Melayu di Selat Melaka, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006, hlm. 75.
[17] Shamsul Amri Baharuddin, Op., Cit. hlm. 31.
[18]Halimah Mohd Said dan Zainab Abdul Majid, Pengaruh Persekitaran ke Atas Sistem Nilai         Kaum Jawi Peranakan, hlm. 9.
[19] Arba’iyah Mohd Noor, Perkembangan Pensejarahan Islam di Alam Melayu ( Development        of Islamic Historiography in Malay Archipelago), 2011, Jurnal Al-Tamadun. 6: 29-50.
[20]Zawiah Mat &Mashitah Sulaiman, Interaksi Budaya India & Cina ke Atas Pengukuhan  Bahasa dalam Tamadun Melayu,Jurnal Pengajian Umum Bil. 8, hlm. 2.
[21]Halimah Mohd Said dan Zainab Abdul Majid, Pengaruh Persekitaran ke Atas Sistem Nilai         Kaum Jawi Peranakan, hlm. 2.

[22] GunnGeoffrey C, First Globalization:The Eurasian Exchange 1500-1800, Oxford:        Rowman, 2003, hlm. 169-275.
[23]Zawiah Mat &Mashitah Sulaiman, Interaksi Budaya India & Cina ke Atas Pengukuhan  Bahasa dalam Tamadun Melayu,Jurnal Pengajian Umum Bil. 8, hlm. 6.

[24] Azmah Abdul Manaf, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, Utusan Publications &        Distributor Sdn Bhd, 2001, hlm. 17-18.
[25] Mohd Isa Othman, Sejarah Malaysia (1800-1963), Kuala Lumpur : Utusan Publications &        Sdn. Bhd, 2002, hlm. 176-177.
[26]Zawiah Mat &Mashitah Sulaiman, Interaksi Budaya India & Cina ke Atas Pengukuhan  Bahasa dalam Tamadun Melayu,Jurnal Pengajian Umum Bil. 8, hlm.16.
[27]Shamsul Amri, 2007, Modul Hubungan Etnik, Malaysia: Pusat Penerbitan Universiti        (UPENA), 2007, hlm. 36.
[28]Ibid.
[29]Arkib dalam Utusan Online, 1998, Permasalahan Kahwin Campur.
[30]Ibid.
[31]Ibid.
[32] Sandra Binti Abdul Kadir, ditemu bual pada 15 Mei 2017, Penduduk Daerah Sepang,   Selangor.
[33]Jamilah binti Mahmud, ditemu bual pada 15 Mei 2017, Penduduk Daerah Sepang,           Selangor.

[34]Sandra, Op.Cit.

[35]Surah al-Hujurat, ayat ke-13.
[36] Sinar Harian, 2015, Lebih Baik Kahwin Campur.
[37]Ibid.
[39]Halimah Mohd Said dan Zainab Abdul Majid. _____. Pengaruh Persekitaran ke Atas     Sistem Nilai Kaum Jawi Peranakan.Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris. hlm.   1.
[40] Sinar Harian. Op.cit.

[41] S. Sarjit Gill. 2001. Perkahwinan Campur Peranakan Punjabi di Sabah. Malaysia: Sari 19.
[42]Malaysia Kini, 2007, Mendedahkan Punca Sebenar Rusuhan 13 Mei.
[43]Mansur Mohd Noor, Modul Hubungan Etnik. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia,            2012, hlm.67.

2 comments:

  1. Eeleh blog cine pnpu BG dhlh muke cm peit jmbn cm gmpg!!! MUAHAHAH!!!

    ReplyDelete
  2. saya petik sini untuk kajian saya ya, halalkan terima kasih

    ReplyDelete