Selatan Thailand: Wilayah
Melayu Yang Hilang
WILAYAH Satun, Trang, Narathiwat,
Pattani, Yala dan Songkhla cukup sinonim dengan orang Islam di Thailand.
Kesemua wilayah ini, kecuali Trang dan Pattani bersempadanan dengan Malaysia. Walaupun
majoriti penduduk di wilayah-wilayah ini adalah orang Melayu-Islam, tetapi
wilayah-wilayah ini bukan lagi sebahagian daripada negara kita.
Apakah
benar apa yang dikatakan bahawa wilayah selatan Thailand adalah wilayah Melayu
yang hilang?
Sejarah
Awal
Negeri
Kedah yang wujud pada hari ini merupakan sisa tinggalan daripada wilayah
kerajaan Melayu yang terbentang luas di kawasan utara Semenanjung Melayu yang
meliputi wilayah-wilayah selatan Thailand. Menurut sumber catatan sejarah,
kerajaan Langkasuka adalah kerajaan Melayu terawal yang pernah wujud di
Semenanjung Melayu. Ia wujud pada kurun ketiga dengan mempunyai pusat
kekuasaan di Kedah yang kemundiannya dipindahkan ke Pattani.
Kerajaan
Kedah Tua kemudiannya muncul pada kurun keenam dan berkuasa ke atas laluan
kapal pedagang di kawasan utara Semenanjung Melayu. Kehebatan Kerajaan Kedah
Tua ini dapat dilihat daripada tinggalan arkeologi candi-candi di Lembah Bujang
yang masih wujud sehingga hari ini.
Empayar
Maritim
Kurun
ketujuh menyaksikan kemunculan sebuah kerajaan Melayu terhebat yang pernah
muncul di Pulau Sumatera. Srivijaya adalah sebuah kerajaan Melayu Hindu-Buddha
yang berjaya mencapai status ‘empayar maritim’, dengan wilayahnya meliputi
sebahagian besar Pulau Sumatera, Semenanjung Malaysia dan wilayah-wilayah
selatan Thailand serta sebahagian daripada Pulau Borneo.
Setelah
berkuasa lebih dari lima abad, kerajaan Jawa Majapahit menggantikan kerajaan
Srivijaya dengan menguasai kawasan yang dahulunya pernah menjadi milik
Srivijaya, malah jajahan Majapahit adalah lebih besar daripada Srivijaya.
Indonesia yang terbentuk pada hari ini adalah gambaran betapa luasnya jajahan
kerajaan Nusantara ini.
Penjajahan
Berkurun
lamanya orang Melayu Nusantara menguasai rantau kepulauan Melayu ini sebelum
kekuasaan mereka terhakis menerusi kedatangan penjajah-penjajah Barat. Selain
penjajah Barat, kerajaan-kerajaan Melayu juga terpaksa berhadapan dengan kuasa
penjajah serantau iaitu Siam yang senantiasa mengambil peluang untuk meluaskan
wilayah mereka ke selatan Semenanjung Melayu.
Sebagai
contoh, wilayah Satun yang sekarang ini sebahagian daripada Thailand
pernah berada di bawah pengaruh kerajaan Kedah sehingga tahun 1813.
Kesultanan Kelantan dan Terengganu pernah menjadi sebahagian daripada
Persekutuan Pattani Besar sehingga dipecahkan oleh Siam pada tahun 1785.
Sempadan
Malaysia-Thailand yang terbentuk pada hari ini bukanlah sempadan yang
memisahkan wilayah sebenar orang-orang Melayu dan Siam. Sempadan ini telah
dilukis melalui persetujuan pihak British, selaku pelindung kerajaan-kerajaan
Melayu dengan pemerintah Siam, tanpa kerelaan sultan-sultan Melayu sendiri pada
tahun 1909.
Bertitik-tolak
dari peristiwa bersejarah ini, terpisahlah wilayah-wilayah Melayu di selatan
Thailand dengan negeri-negeri serumpunnya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Wilayah Setul ditukar namanya kepada Satun, Singgora menjadi Songkhla, Terang
menjadi Trang, Jala menjadi Yala dan Menara menjadi Narathiwat. Wilayah-wilayah
ini kemudiannya menerima perpindahan orang-orang Siam yang agak ramai untuk
menyeimbangkan populasi Melayu-Muslim dengan Siam-Buddha. Satun contohnya,
mempunyai populasi Muslim melebihi 90% pada awal kurun ke 19 tetapi sekarang
ini, populasi Muslimnya berkurangan kepada 65%.
Dasar
Thesapiban
Setelah
wilayah-wilayah selatan ini menjadi milik mutlak Siam pada tahun 1909,
pemerintah Siam pada ketika itu mengenakan dasar Thesapiban kepada
penduduk-penduduk di kawasan ini dengan harapan untuk mengasimilasikan
orang-orang Melayu Muslim kepada budaya masyarakat majoriti Siam-Buddha. Dasar
ini diperkenalkan oleh Perdana Menteri Siam, Pibul Songgram yang memerintah
Siam di antara tahun 1939 sehingga 1944.
Penduduk-penduduk
Melayu dipaksa untuk menerima adat dan budaya masyarakat majoriti Siam-Buddha
untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Bahasa Siam diajarkan di
sekolah-sekolah dengan bahasa Melayu tidak diberikan perhatian langsung oleh
pemertintah. Mujur sekali Dasar Thesapiban tidak memaksa orang-orang Melayu
untuk meninggalkan Islam sebagai agama yang dianuti oleh mereka.
Apabila
Siam menjadi Thailand pada tahun 1949, masyarakat Melayu telah dilabelkan
sebagai ‘Thai-Muslim’. Jati diri masyarakat Melayu di selatan Thailand berjaya
secara sedikit demi sedikit, dihakis menerusi Dasar Thesapiban ini. Kini,
majoriti generasi muda Thai-Muslim di selatan Thailand tidak lagi fasih
berbahasa Melayu dan lebih selesa menuturkan bahasa Thai.
Masyarakat
Melayu Selatan Thai Kini
Walaupun
rata-rata orang Melayu-Thai di daerah Pattani, Yala dan Narathiwat masih lagi
boleh bertutur di dalam bahasa Melayu dan masih lagi mengakui yang mereka itu
Melayu, lain pula dengan kebanyakan masyarakat Thai-Muslim di wilayah-wilayah
Satun, Trang dan Songkhla.
Mereka
tidak lagi boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik walaupun mereka tampak
seperti masyarakat Melayu-Islam di Kedah ataupun Kelantan. Lebih menyedihkan,
hanya 9.9% daripada masyarakat Islam Satun dan Trang yang mengaku mereka itu
Melayu.
Wilayah
yang Hilang
Sejarah
menunjukkan bahawasanya orang-orang Melayu pernah membina peradaban yang tinggi
menerusi kerajaan-kerajaan maritim yang pernah diterajui mereka. Namun,
penjajahan telah menyebabkan orang-orang Melayu tertindas sehingga hilang jati
diri. Masyarakat Thai-Muslim di Satun dan Trang adalah manifestasi sebuah
bangsa yang telah hilang jati-diri mereka sebagai seorang Melayu. Amat
mendukacitakan apabila saudara serumpun seagama kita di Satun dan Trang tidak
lagi mahu mengakui diri mereka Melayu, malah lebih berbangga menjadi orang
Thai.
Kesimpulan
Wilayah-wilayah
Satun, Trang, Pattani, Yala, Songkhla dan Narathiwat adalah wilayah-wilayah
Melayu yang hilang dan sekarang telah menjadi hak mutlak negara Thailand. Nasib
masyarakat Muslim di selatan Thailand patut dijadikan iktibar oleh kita semua.
Rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Melayu perlu menanamkan rasa kasih pada
bangsanya sendiri dan negara Malaysia kerana inilah negara warisan
kerajaan-kerajaan Melayu lama yang masih kekal bersama orang-orang Melayu.
> Mohd
Hazmi Mohd Rusli (Ph.D) adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan
Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang felo pasca
kedoktoran kehormat di University of Wollongong, Australia.
No comments:
Post a Comment